Sebuah Cerpen Nukilan Akhi Masrawi
Warkah Buat Puteriku
Assalamualaikum warahmatullah…
Puteriku,
Sewaktu aku ingin menitipkan tintaku ini buatmu aku merenungimu dengan penuh
kasih sayang. Waktu itu engkau baru berumur beberapa hari selepas engkau
dilahirkan kedunia ini oleh ibu yang mengandungkan dirimu. Aku bersyukur kerana
aku dianugerahkan seorang cahaya mata bernama wanita yang bakal mewarisi sifat
kelembutan ibumu sebagai wanita solehah. Namun perlu engkau ingati akan
kelembutanmu itu, bukanlah diskriminasi Tuhan terhadapmu. Aku berpesan buatmu
tentang keadilan Tuhanmu. Betapa agungnya Dia menciptakan dirimu sebagai insan
yang bernama wanita supaya kau sanjungi anugerahNya buatmu.
Keagungan Tuhanmu mengatasi segalanya. Oleh itu patuhilah segala perintahNya
lantaran kau terpilih dijadikan cuma sebagai hamba dan jauhilah laranganNya
untuk menunjukkan kasihmu terhadapNya. Perhatikan segala amanahNya buatmu kerana
amanahNya perlu kau dahulukan daripada amanah makhluk-makhlukNya. Selamatlah
dirimu tika mana kau memilih jalan Taqwa dan meninggalkan perangkap maksiat dan
kehinaan. Puteriku! berimanlah dikau dengan Allah yang Maha Agung. Yakinilah
pada ajaran dan sunnah Rasulullah saw. Berpeganglah pada dustur yang mengajarmu
tentang tarekat hidupmu lantas katauhidanmu akan mengikat Taqwa dan imanmu
terhadap penciptamu. Yakinilah bahawa setiap perkhabaran para Rasul itu benar
sekalipun berita yang di bawa itu bukan cuma berita gembira.
Puteriku,
Hari ini aku akan menamakan dirimu. Aku memilih nama seorang wanita yang aku
kagumi dari kalangan wanita-wanita lain yang juga turut menjadi idola. Namun
hatiku cuma muyul untuk menamakan dikau dengan nama ini. Janganlah sesekali
engkau merasa jengkel dan kekurangan dengan namamu ini. Paling tidak merasa
cemburu dengan nama-nama temanmu yang lain barangkali jauh lebih up to date.
Percayalah bahawa namamu ini sudah memadai untuk kau merasa rendah diri terhadap
Tuhanmu dan bertanggung jawab untuk menaladani peribadi yang pernah bernama
seperti itu. Ingatlah kau bakal menjadi serikandi sepertinya suatu masa nanti.
Aku berpesan kepadamu tentang ilmu. Ilmu itu mengangkat darjat manusia. Ilmu
jugalah yang mencipta peradaban ciptaan manusia yang hakikatnya adalah ketentuan
Ilahi. Ilmu jugalah yang memisahkan kekufuran bila hidayah dicampakkan ke kalbu
seseorang insan. Oleh itu usahlah engkau pencilkan dirimu dari ilmu kerana
engkau bakal bergelar seorang ibu yang akan mendidik anak-anakmu nanti. Ilmu
duniawi dan ilmu ukhrawi. Kedua-duanya muhim bagimu, namun ilmu ukhrawi lebih
aham. Justeru aku menyekolahkanmu di sekolah aliran agama supaya cita-citaku itu
menjadi pasti.
Sewaktu kecilmu engkau diasuh ibumu. Engkau dibelai manja. Ketika salahmu engkau
diteguri supaya engkau berhati-hati di lain kali. Ketika betulmu aku dalam diam
mensyukuri kepintaran yang dikurniakanNya buatmu. Patuhilah perintah kedua ibu
bapamu selagimana ianya tidak berelisih dengan ajaran Islam. Usahlah engkau
bersedih tika engkau gagal sekali. Sebaliknya berusahalah dengan lebih gigih
kerana engkau masih mempunyai peluang untuk kali kedua. Janganlah engkau
pencilkan kesedihan dengan esak tangismu yang menyayukan hati. Janganlah engkau
salahkan Tuhanmu tika lara dan duka mengunjungi laman hidupmu. Sedarilah itulah
ujian TuhanMu untuk menilai kesabaran dan ketaqwaanmu terhadapNya.
Puteriku,
Apabila usiamu mencecah sembilan tahun engkau akan bertukar status dari seorang
kanak-kanak perempuan menjadi wanita. Ya… wanita yang punyai tanggung jawab
terhadap agama, diri, keluarga, bangsa dan negara. Engkau bakal mengalami
peristiwa ganjil. Janganlah engkau takuti akan peristiwa itu lantaran ia adalah
perkara ghalib untuk kaum hawa. Engkau akan mengalami haidh. Ia adalah darah
yang keluar dari kemaluanmu ketika engkau dalam keadaan sihat. Engkau perlu tahu
hukum-hakam mengenainya. Apa yang perlu engkau lakukan dan apa yang ditegahi
agama terhadapmu. Janganlah engkau merasa hina dengan ia kerana ia adalah suatu
urusan yang ditentukan Allah kepada wanita-wanita berketurunan Adam.
Selepas kajadian ganjil itu engkau punya tanggung jawab besar. Engkau perlu
lunaskan tanggung jawabmu terhadap agamamu. Jangan engkau abaikan tanggung
jawabmu terhadap kesucian dirimu. Apabila sudah berhenti haidhmu maka
bersegeralah engkau menyucikan dirimu dan kerjakanlah semula amal ibadatmu.
Sesudah itu engkau akan berkali-kali mengalami peristiwa tadi sehingga engkau
mengerti hikmah ketentuan Ilahi terhadapmu. Usahlah engkau merasa pelik jika aku
tuturkan untukmu bahawa ada wanita yang tidak pernah mengalami haidh dalam
hidupnya. Dialah puteri kesayangan Baginda Rasulullah (Fatimah al-zahra' r.a).
Ada wanita yang cuma datang haidhnya sekali seumur hidup. Ada yang setahun
sekali. Ada yang jarang-jarang sekali dan normalnya ia datang setiap bulan. Maka
hitunglah. Paling kurang haidh itu adalah sehari semalam dan paling lama
tempohnya adalah 15 hari berserta malamnya. Tentu engkau merasa pelik mengapa
aku menulis warkah ini seperti ini bukan? Aku ingin mengajarmu tentang hidupmu.
Tidaklah seorang wanita yang haidh itu, kecuali haidhnya merupakan kifarat (tebusan)
untuk dosa-dosanya yang telah lalu, dan apabila pada hari pertama haidhnya
membaca "Alhamdulillahi'alaa Kulli Halin Wa Astaghfirullah; Segala puji
bagi Allah dalam segala keadaan dan aku mohon ampun kepada Allah dari segala
dosa." ; maka Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan mudah
melalui siratul mustaqim yang aman dari seksa, bahkan Allah Ta'ala mengangkatnya
ke atas darjat, seperti darjatnya 40 orang mati syahid, apabila dia selalu
berzikir kepada Allah selama haidhnya. Justeru janganlah engkau segan silu
bertanya tentang usuran agamamu pada hal yang tidak engkau ketahui atau engkau
ragui kesahihannya kepada orang-orang yang lebih mengetahui. Janganlah engkau
tanyakan pada orang yang jahil kerana kelak fatwanya menyesatkan dirimu.
Selepas tempoh ini engkau akan membesar menjadi seorang wanita. Tubuh badanmu
akan mengalami perubahan sedikit demi sedikit sehingga engkau bakal dikagumi
oleh lelaki. Wajib tika ini engkau menutup auratmu terhadap pandangan lelaki
ajnabi. Engkau tidak betah lagi untuk menayangkan tubuhmu lantaran ia adalah
fitnah yang merosakkan. Waktu ini juga citarasamu akan berubah. Perasaanmu untuk
mendekati dan berkawan dengan kaum lelaki melonjak-lonjak. Engkau akan girang
bila engkau punyai teman berlainan jantina. Itulah yang dinamakan ikhtilat.
Biasanya ia berlaku ketika usia peralihanmu sewaktu engkau menduduki tangga
menengah alias usia remaja. Umur sementahmu itu pada hematku tidak wajar engkau
berbuat begitu melainkan untuk urusan-urusan yang dibenarkan syariat. Ikutilah
jejak ibumu. Dialah modus operandi terhampir buatmu. Seingatku dia tidak pernah
menjalin hubungan alias berpacaran dengan lelaki ajnabi selainku… itupun
selepas kami diikat dengan pertunangan. Namun masih mera'ikan tuntutan syara'.
Puteriku,
Engkau adalah anak pasca alaf kemodenan. Paling tidak engkau adalah generasi
akhir zaman. Oleh itu janganlah engkau sia-siakan zaman mudamu dengan hiburan
dunia yang melekakan. Penuhilah dadamu dengan ilmu. Tidak rugi engkau menjadi
seorang yang berilmu seperti beberapa tokoh serikandi Islam yang pernah
melakarkan sumbangan mereka terhadap Tamadun Islam.
Lihat saja Saidatina 'Aisyah r.a yang terdidik oleh Madrasah Rasul. Dia betah
menjawab persoalan-persoalan yang diajukan lantaran kefaqihannya yang terbukti.
Mengimbaskan nosstlgia Saidatina Khadijah r.a pasti kita terpana akan
perngorbanannya yang sukar untuk ditandingi. Pun begitu menyorot kezuhudan dan
agung kasih serta cintanya terhadap Ilahi tentu sahaja engkau pernah mendengar
akan nama Rabiatul Adawiyah. Kesemua mereka itu adalah wanita. Beruntunglah
engkau duhai puteriku jika engkau menyusuli jejak mereka. Aku sengaja
menampilkan peribadi-peribadi tadi bukan untuk menghasut cemburumu, malah aku
mahukan engkau menaladeni jejak mereka. Tidak salah untukmu terjun ke medan
jihad kerana ikhlasmu untuk menegakkan agama Allah. Aku tidak mengajar engkau
untuk takut akan mati syahid. Pernahkah engkau mendengar kalam seorang mujahid
tentang perjuangan?
Telah berkata As-Syeikh Abdul Qadir Audah: "Jika aku dipenjarakan kerana
perjuangan suci ini, aku boleh beruzlah. Jika aku dibuang daerah, aku boleh
melancong percuma dan jika aku dibunuh kerana perjuangan yang benar ini maka aku
dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang syuhada'."
Berbicara soal perjuangan merupakan suatu realiti kerana hidup ini adalah sebuah
perjuangan. Perjuangan membebaskan diri dari cengkaman kekufuran terhadap Ilahi.
Perjuangan menundukkan hawa nafsu yang sering meronta di dalam diri. Perjungan
di titian kesabaran mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Tuhan.
Perjuangan mendidik diri menjadi seorang hamba dan perjuangan untuk merintis
serta mengembalikan kedaulatan Daulah Islamiah yang telah lama hilang. Ya…
itulah tugas utama kita. Itulah amanah yang perlu kita lunaskan semenjak
kejatuhan Khilafah Islamiah Turkey Uthmaniah pada tahun 1924M. Maka sehinggalah
perjuangan murni itu mencapai noktahnya yang entah bila janganlah engkau
menyimpangkan diri dan hatimu dari terus bersama dalam ribat Jamaah Islam.
Puteriku,
Sampai masanya nanti engkau bakal menjadi seorang isteri dan seterusnya bergelar
seorang ibu. Usahlah engkau ragui akan jodohmu kerana lelaki soleh itu adalah
untuk wanita solehah. Dari itu jika engkau mengidamkan bakal suamimu sehebat
Saidina Ali k.w jadikanlah dirimu laksana semulia Fatimah al-Zahra'. Aku
nukilkan kata-kata Asma' binti Kharizah Fazari r.a. diriwayatkan bahawa ia telah
berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya, "Wahai anakku, kini
engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah
ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu.Jadilah
engkau tanah bagi suamimu (dengan mentaat perintahnya) dan ia akan menjadi
langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat
menjadi tiangnya. Jangan engkau bebaninya dengan berbagai kesukaran kerana itu
akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu,dekatilah ia dan jika
ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik.Peliharalah benar-benar suamimu itu
akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia
mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah
sahaja daripada dirimu.
Kehidupan berumah tangga adalah amanah sebenarnya. Bukan sekadar pengkongsian
kebahagiaan semata-mata malah berkongsi segalanya sehinggalah manusia menyedari
tanggung jawab masing-masing sebagai suami isteri. Taatilah suamimu dalam
taqwamu terhadap Allah. Janganlah sesekali engkau menderhakai suamimu. Ingatlah
wahai puteriku sesungguhnya Baginda Rasul saw pernah bersabda: "Aku lihat
api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang
dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakkan ahli neraka ialah wanita."
Rasulullah s.a.w. ditanyai, "Mengapa demikian wahai Rasulullah?" Jawab
Rasulullah s.a.w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya.
Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa
berpuas hati dan cukup." Usahlah engkau merasa pilu dengan
perkhabaran-perkhabaran tadi. Persiaplah dirimu kerana walaupun kebanyakan
penghuni neraka adalah dari kalangan wanita lantaran mereka dari golongan
wanita-wanita yang jahat. Namun masih ada ruang untuk wanita mendapat syurga.
Jadilah wanita yang baik. Jadilah wanita yang mentaati perintah Tuhan dan
suaminya. Jadilah wanita yang menjadi ibu yang baik.
Puteriku,
Puisi ini untukmu…
Kaulah mawar idaman
Tumbuhmu di taman larangan
Mekarmu dipagari dan dibajai
Sesucinya hatimu seindah akhlakmu
Diciptakan sebagai seorang wanita
Mewarisi kelembutan wanita solehah
Kembangmu tetap indah
Walau cuma di taman larangan
Menyinarkan nur keimanan
Nan mekar dihiasi mahmudah
Berkat asuhan ayah bonda
Kaulah serikandi ummah
Akhlakmu permata diri
Peliharalah maruah dan budi
Nescaya kaulah yang bernama
Wanita Sejati
Kebanggaan ayah bonda…
Puteriku,
Barangkali engkau sudah bosan membaca warkahku ini. Aku tidak pasti bilakah
masanya engkau bakal membaca warkahku ini. Kalau engkau membacanya tika aku
masih di sampingmu maka anggaplah ini pesanku buatmu wahai puteriku. Jika engkau
membacanya tika aku sudah disemadikan itulah wasiatku buatmu.
Untuk mengakhiri warkahku ini aku juga ingin berpesan sebagaimana Luqman al-Hakim
berpesan kepada anaknya…
Telah berpesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya, "Sepanjang hidupku, aku
hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-
"Apabila engkau sedang solat kepada Allah s.w.t. maka jagalah baik-baik
fikiranmu.
Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagailah pandanganmu.
Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidahmu.
Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai dan adabmu.
Ingatilah kepada Allah s.w.t.
Lupakan budi baikmu terhadap orang lain.
Lupakanlah semua kesalahan orang lain terhadapmu.
Sentiasalah mengingati mati."
Ayahandamu.
Fatimah Al-Zahra' melipat semula warkah itu untuk kesekian kalinya. Itulah
wasiat ayahnya. Ayahnya gugur syahid sebelum sempat melihat dia mencapai impian
yang dilakarkan dalam warkah bisu itu. Kini Fatimah Al-Zahra' adalah penuntut
tahun akhir jurusan Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar cawangan Iskandariah,
Mesir. Dia mencapai semula kitab Qawaid Feqh sebagai isti'datnya untuk
menghadapi imtihan dan terpenting untuk mencapai impian seorang ayah.
Tamat.
Glosari:
Dustur - pegangan
Tarekat - jalan, cara
Muyul - cenderung
Kalbu - hati
Muhim - penting
Aham - lebih penting
Ghalib - kebiasaan
Ajnabi - orang asing, bukan mahram
Ikhtilat - pergaulan, hubungan
Ribat - kesatuan
Isti'dat - persediaan
Imtihan - peperiksaan
Nota- Glosari (perkataan berhuruf condong) yang disertakan sekadar untuk
menterjemahkan maksud penceritaan karya ini.
Nukilan: Akhi Masrawi
Tanta, Egypt.
Nama : Ahmad Tarmizi Ismail
Nama Pena : Akhi Masrawi
Fakulti : Syariah dan Undang-undang
Universiti : Al-azhar cawangan Tanta.