Make your own free website on Tripod.com

SEBUAH KARYA AKHI MASRAWI

WARKAH TERAKHIR DARI RAMALLAH

MEMORI keakraban antara aku dan Jihad masih segar di kotak ingatan.
Meski setelah tiga tahun lalu perpisahan menjadi tamu, sekaligus
menjarakkan kemesraan yang baru memutik. Nostalgia menyusur
denai-denai ilmu di Jamie' Al-Azhar menerpa. Membasuh keresahan
menghabiskan pengajian di rantau orang di universiti yang terkenal
sebagai kiblat ilmu itu. Betapa indahnya saat lalu, meski ia tidak betah
berulang kembali.

"Tinggallah bersamaku." Ujarku setelah berkenalan dengan Jihad kali
pertama bertemu dengannya di perkarangan masjid Husin.
"Tak usahlah." Balas Jihad menolak.
"Tak mengapa, lagipun bukanlah asing mendiami sebuah rumah dengan
ahlinya berbeza negara." Aku meyakinkan walaupun pada mulanya aku
agak keberatan lantaran menjadi kelaziman para mahasiswa Malaysia
tinggal dengan rakan senegara.

Setelah berittifaq aku membawa Jihad pulang ke rumah dua bilik yang
kusewa di Madinah Nasr itu. Bermulalah episod persahabatan antara
kami.

Jihad seorang sahabat yang akrab dengan muallafat. Berketrampilan
sederhana dan zuhud sifatnya. Melazimi puasa sunat Isnin-Khamis dan
qiyamullail. Pernah sekali aku mengusik hamasahnya meratah thaqafah
dan mengungguli muallif lantaran cemburu yang terbina. Namun, Jihad
tetap sabar dan istiqamah. Padanya safar ilmu di Ardil Kinanah ini adalah
peluang yang tidak mungkin diperolehi setiap jiwa yang lahir di
daerahnya.

Benarlah kata Jihad. Safar ilmu itu terlalu mencemburinya. Baru setahun
menjadi warga Al-Azhar sekaligus teman serumahku, dia terpanggil
pulang ke daerah asalnya. Dalam kepasrahan aku melepaskan Jihad
pergi.

Semalam, kepulanganku ke kediaman di Madinah Nasr mengetuk tirai
emosi apabila Muslim, teman serumahku menyerahkan sekeping sampul
surat yang dikirimkan dari Ramallah. Tentu sahaja aku tidak akan salah
meneka. Aku tidak punya sesiapa di Ramallah, kecuali Jihad. Setelah
tiga tahun perpisahan merakam waktu baru kini warkahnya terutus.
Kuratah setiap isi warkah Jihad dengan tenang.

Assalamualaikum warahmatullah...

Sahabatku fillah,

Kukira kau gembira menatap warkah bisu ini meski setelah tiga tahun
sepi membaluti persahabatan kita. Ukhwah yang pernah kita bina
kuharap masih mekar seperti dulu. Lantas sebagai seorang sahabat.
kuterbangkan doa dari bumi Isra' ini agar hidupmu bahagia.

Akhi,

Kala kau dan teman-teman meratah thaqafah di halaqah-halaqah ilmu,
aku dan para satria di sini terhambat menyusun takhtit demi jihad yang
satu. Ya, jihad fi sabilillah yang tak akan luput dari jiwa yang beriman.
Meski kalian mengejar kefaqihan untuk berstatus ulamak kami terus
berperang untuk menang atau syahid sebagai syuhada. Perjuangan kita
tetap perjuangan suci murni yang kita warisi daripada mereka yang telah
pergi.

Ketahuilah sahabatku, tidak terlintas di nubariku untuk mengabaikan
persahabatan yang telah kita bina. Apa lagi jasamu menghulurkan
pertolongan dan bantuan kewangan yang kau salurkan buatku
menyebabkan aku terasa hiba hingga saat ini pun aku tak mampu
membalasnya.

Aku terhenti membaca isi warkah. Hiba mengusik. Ada manik jernih yang
bertakung di kelopak mata. Kusambung kembali dengan warkah tetap
kemas di genggaman.

Setibanya aku di Ramallah aku teruji dengan kepergian seluruh ahli
keluargaku yang gugur syahid di tangan seldadu Yahudi. Berita yang
menyayat hati itu kuterima pasrah. Aku sudah tiada sesiapa kecuali
setelah aku ditemukan dengan Abdullah seorang pejuang HAMAS yang
kemudiannya membawaku bersama jemaah itu.

Kau tentu tahu bukan, setiap perkhabaran di sini? Ku kira media sentiasa
melaporkan. Justeru tidak perlulah kiranya kuriwayatkan kesemua
kisah-kisah itu. Cukuplah sekadar menceritakan persepsiku semenjak
menganggotai HAMAS, sebuah pertubuhan intifada yang dilabel George
W Bush sebagai kelompok 'terrorist', sedang Ariel Sharon yang
menyembelih hampir 3000 jiwa umat Palestin dalam tragedi Sabra dan
Shatila sewaktu menjadi menteri Pertahanan Israel dilabel sebagai
pejuang keamanan. Kau lihat! Tribunal dunia barat menghakimi kita.
Sharon celaka itu hanya di'pujuk' melepaskan jawatan ketika itu tetapi
akhirnya dipilih semula menjadi Perdana Menteri menggantikan Ehud
Barak serta meneruskan onar, sedangkan tiada sebarang tindakan untuk
membela umat Islam Palestin. 

Meskipun berpemimpinkan seorang amir yang cacat, bukanlah jidar yang
menghalang hamasah kami pengikut Syeikh Ahmad Yassin itu. Sebagai
ganti kecacatan beliau Allah telah menganugerahkan berpuluh ribu kaki
dan tangan pejuang Islam. Syeikh intifada itu kujadikan idola untuk
membebaskan bumi Palestin ini. Api jihad sering menyala-nyala saban
khutabahnya berkumandang di Masjid Al-Abbas, Masjid Ashnati dan
Masjid Izzuddin Al-Qassam mengingatkan umat Islam Palestin kembali
berpegang teguh dengan ajaran Islam. Kita tidak mungkin boleh
menaruh harapan lagi kepada perjuangan Arafat. Pertubuhan
Pembebasan Palestin (PLO) sepatutnya telah lama berundur dari
memperjuangkan keamanan dan pembebasan Tanah Suci ini lantaran
perjuangan mereka semenjak 1964 itu adalah bersifat kebangsaan
dengan paksi sekular.

HAMAS yakin PLO adalah boneka sekular. Persis OIC dan Liga Arab yang
saban waktu mengatur penipuan demi penipuan. Apa yang 57 buah
negara anggota OIC sebagai pertubuhan kedua terbesar di dunia itu
telah lakukan untuk Palestin? walaupun asalnya diasaskan di Rabat,
Morocco pada 25 September 1969 sebagai menyatakan sensitiviti
terhadap cubaan Zionis antarabangsa untuk membakar Masjid Al-Aqsa
pada 21 Ogos 1969. Sementara mereka berdrama Gaza, Jenin dan
Ramallah terus berdarah. Belum lagi melihat sandiwara Liga Arab yang
sering tidak ada kata putus yang meyakinkan.

Lantaran intifada yang digerakkan Syeikh Ahmad Yassin pada 1987
beliau menerima bayaran perjuangan itu dengan hukuman penjara
seumur hidup yang diputuskan oleh mahkamah Israel. Syeikh Ahmad
Yassin menderita. Namun perjuangan mustamirrah. Beliau terus
meyakinkah kami para anggota HAMAS supaya menolak perjanjian
damai yang dimetrai oleh PLO dengan Zionis Israel.

Akhi,

Mengakhiri wakrahku kali ini ingin kupetik kata-kata Syeikh intifada itu
yang seringkali menjadi pembakar semangatku. Beliau dengan tegas
pernah berkata: "Kami bersumpah bahawa kekejaman dan kezaliman
Zionis Israel terhadap rakyat Palestin tidak akan membuatkan kami
mundur setapak pun dan kami akan terus menetang Zionis kerana Allah
akan menolong kami. Kami berseru, percayalah dan bersatulah merebut
kembali jalan-jalan, kota dan tanah Palestin. Berjihadlah sampai
mencapai kemenangan atau mati syahid di jalanNya."

Sahabatmu,
Jihad Jamal
Ramallah

Warkah itu kulipat kembali seusai membaca baris terakhir. Peluh
memercik keluar di dahi kukesat dengan lengan kemeja. Keinsafan
bertamu di laman hayat. Pasca kepulangan Jihad ke Tanah Palestin aku
meneruskan pengajian dalam fakulti Syariah Wal-Qanun bersama
teman-teman yang lain seperti biasa. Sayang sekali keputusan imtiyaz
tahun pertama yang dirangkul Jihad berakhir tanpa disudahkan
pengajian hingga tahun empat. Kini aku dalam debar menanti keputusan
tahun akhir sambil-sambil mengintai majlis ilmu dan bertalaqi dengan
para syeikh.

"Aku sukakan membaca karya Said Hawwa. Antara yang paling
menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan yang hebat dalam jiwaku
adalah sebuah kitab kecilnya yang berjudul "Hazihi Tajribati wa hazihi
Syahadati." di mana memaparkan kisah hidup perjuangan penulis
sendiri." Kalam Jihad bagai terngiang di telingaku. Aku hanya
mengiyakan tuturnya.
"Selain itu tulisan-tulisan Syed Qutb juga sering membangkitkan
hamasahku," sambung Jihad. 

Jihad menyedarkan aku tentang pengajian. Himbauan nostalgia
bersamanya membuatkan muallafat di kutubkhannah fakulti kuratah
dengan jitu. Minat yang mendalam dalam bidang Syariah meruntun
penguasaanku dalam segenap lapangan ilmu terutama Fiqh dan
Usulnya. Justeru kuhadam pelbagai kitab turath mahupun muasarah.
Tanpa melupakan silsilah harakie sebagai 'mahar' perjuangan. Antaranya
silsilah Said Hawa, Fathi Yakan, Al-Qardhawi dan sebagainya menjadi
teman pengganti ruh membaca yang pernah diasas Jihad. Tulisan-tulisan
Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Hasan Hudhaibi, Muhd Abdullah
Al-Khatib, Ali Abdul Halim Mahmud, Abdul Qadir Audah, Mustaffa Masyhur,
Zainab Al-Ghazali, Al-Mawdudi dan ramai lagi kujadikan iftar selepas
quranul fajr. 

Aku mencapai beberapa keping kertas A4 dan pen untuk membalas
warkah dari Ramallah itu.

Assalamualaikum Warahmatullah...

Sahabatku Jihad,

Warkahmu selamat kuterima dan kufahami isinya. Aku bersyukur, kau
masih mengingati persahabatan dan ukhwah yang kita bina. Ku kira tidak
sia-sia kitab Fiqh Ukhwah yang pernah kita diskusikan bersama suatu
ketika dahulu. Dan seperti biasa aku juga turut mendoakan
kesejahteraanmu dari Lembah Nil ini.

Semenjak 1987 lagi tika laungan intifada menggegarkan langit Palestin,
HAMAS telah kukenali. Waktu itu aku masih di marhalah ibtidaie. Kalau
kau mahu tahu guru besarku dengan lantang pernah berucap di
perhimpunan rasmi sekolah seraya melancarkan tabung bantuan kepada
intifada Palestin. Apalah yang aku miliki waktu itu selain semasa saku
seluar kuseluk wang syiling bernilai 50 sen cuma. Namun kerana itu
sahaja yang barangkali mampu untuk menampung perjuangan intifada
Palestin aku masukkan kesemuanya ke dalam tabung yang dilancarkan.
Semangatku tika itu membuatkan aku terpaksa mengikat perut dan
hanya mencicip air dari paip besi.

Itu kisah hampir 16 tahun yang lampau. Kisah seorang anak kecil
menilai sebuah perjuangan. Bukan kisah seorang mahasiswa membaca
tragedi dan peristiwa. Demi menyatakan sokongan yang mustamirrah itu,
aku bersama teman-teman di sini melancarkan muzaharat aman dari
Jamie Al-Azhar seusai solat Jumaat saban minggu. Kami
melaung-laungkan pembebasan dan keadilan untuk Palestin.
Ketumbukan kami itu tidak disenangi pihak keamanan. Akibatnya aku
dan enam teman lain terberkas, ditahan dan disoal siasat. Mujurnya
tiada kesan terhadap pengajian kami di Al-Azhar.

Peluang meladeni kitab-kitab ilmu membantuku memahami pengertian
jihad sebagai tiang keizzahan Islam. Kau jangan hairan andai kukatakan
masih ada ulamak yang tidak mengiktiraf perlakuan meletupkan bom
yang kalian amalkan sebagai amaliyat istisyhadiah. Sebaliknya mereka
melabelkannya sebagai intihar. Namun aku yakin pendapat yang
menyatakan perlakuan itu adalah jihad dan matinya beroleh syahid
adalah benar dan tepat.

Benar seperti apa yang kau coretkan. Kita tidak boleh berharap kepada
PLO, OIC mahupun Liga Arab kerana dasar perjuangan mereka tidak
berlari di atas garisan yang sama dengan perjuangan kita. Lihatlah
betapa kemenangan imprealis membina empayar. Biarpun mereka
pulang ke negara mereka namun jajahan pemikiran berterusan.
Barangkali wajar aku suarakan betapa penderitaan yang kalian hadapi di
Palestin, penyembelihan di Kosova, pemerkosaan di Bosnia,
Pembantaian di Poso, penindasan di Kashmir, Pergelutan di Afghanistan
dan penyerangan terhadap Iraq adalah harga untaian kifarat kealpaan
umat Islam mengembalikan khilafah Islamiah setelah runtuhnya Turki
Uthmaniah pada 1924. Pun begitu bukanlah niatku hendak menyalahkan
kesemua umat Islam lantaran derita-derita itu kerana masih ada
sinar-sinar Islam dinyalakan melalui jemaah dan harakah Islamiah
serata dunia.

Akhi,

Nampaknya perjuangan perang salib kita masih belum berakhir. Kau
tentu lebih arif mengenai sejarahnya. Apakah kita masih menunggu akan
lahirnya Solahuddin Al-Ayyubi yang kedua? Ku kira tepat ujaranmu.
Perjuangan kita adalah satu. Jihad fisabilillah tanpa menghitung bangsa.
Meski aku dilahirkan di sebuah perkampungan Melayu di Malaysia,
Palestin tetap adalah tanggungjawabku. Tanpa mengira bangsa kerana
ad-Deen itu satu!

Kuakhiri warkah ini dengan rasa syukur dan terharu kerana persahabatan
kita terhubung kembali. Takdir Allah menentukan segalanya. Dialah yang
mempertemukan kita di atas keimanan dan Dialah juga yang
memisahkan kita di atas ketaqwaan. Semoga kita akan terus berutusan.
Oh ya, untuk pengetahuanmu aku akan menamatkan pengajian sarjana
muda tidak lama lagi. Doakan imtiyaz.

Sahabatmu dunia akhirat,
Solahuddin Soleh
Kaherah

Selang hampir dua minggu kuterima warkah balas dari Jihad. Namun
isinya terlalu hambar. Isinya tidak sebagaimana yang kuharapkan.

Assalamualaikum warahmatullah...

Sahabatku,

Syukran kerana membalas suratku. Aku semakin tidak punya masa
untuk menulis sebanyak boleh untukmu. Namun kugagahi jua mencuri
waktu yang terluang untuk kucoretkan pesanan buatmu supaya
perjuangan yang pernah kita bina di Lembah Nil suatu waktu dulu akan
terus subur sesubur ingatan ku terhadapmu.

Tahniah kerana bakal bergelar graduan. Aku doakan imtiyaz buatmu.
Namun... pesanku teruskan jejak untuk mengejar impianmu untuk
menjadi mujtahid umat. Ingat! Tugas dan amanah yang terpikul di
bahumu perlu kau lunaskan dengan ikhlas. 

Akhir kata dariku... mabruk! Semoga kejayaan agam itu akan kau
gunakan di tempat yang sewajarnya.

Sahabatmu,
Jihad Jamal
Ramallah 

Natijah imtihan keluar hari ini. Aku bersama Muslim bergegas ke Fakulti
untuk melihat natijah masing-masing.

"Mabruk Solah!" Ucap Taufiq sewaktu melihatku menuju ke arahnya.
Jantungku berdegup semakin kencang.
"Izai" Soalku dalam loghat 'ammiah berbasa-basi.

"Ya Rab!" Aku menyapu muka dengan telapak tangan tanda syukur
kemudian bersegera ke musolla untuk membuat sujud syukur. Muslim
juga tersenyum dan dia dan Taufiq saling mengucap mabruk.

Hari ini adalah majlis graduan mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang
menyudahkan pengajian di Universiti Al-Azhar dalam pelbagai fakulti.
Aku menyarung jubah graduan dengan penuh rasa syukur. Majlis
diadakan di Dewan Haflah Kubra dengan diserikan kehadiran Rektor
Al-Azhar untuk upacara menyampaikan ijazah dan anugerah.

Alif mahasiswa dari Al-Azhar cawangan Tanta menghampiriku. Sambil
bertanya khabar dan mengucap mabruk bersilih ganti. Muslim
menghampiri kami dan menghulurkan sekeping sampul dari Ramallah
kepadaku. Namun aku agak sangsi kerana tulisan di atas sampul itu
agak berlainan daripada tulisan Jihad. Kuusir prasangka lantas membuka
sampul itu.

Assalamualaikum warahmatullah,

Surat ini dikirimkan untuk Akhi Solahuddin Soleh untuk memaklumkan
berita tentang sahabatmu bernama Jihad Jamal yang telah kembali ke
rahmatullah pada Jumaat lalu akibat diserang Zionis Yahudi seusai
mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Khalil. Tabahlah wahai sahabat
dan sewajarnya kau bergembira kerana kepergiannya sebagai seorang
syuhada'.

Sebagai melunaskan pesanan dan kata-kata yang sempat dituturkan
pada pagi Jumaat itu kepadamu maka surat ini aku kirimkan meskipun
aku sendiri tidak pasti sama ada akan sampai atau tidak pesanan ini.

Kata As-Syahid Jihad Jamal: "Sebaik sahaja kalian mendengar berita
syahidnya aku, dongaklah ke langit... lantaran kecintaanku untuk
bertemu Allah, lantas Allah muliakan dengan kematian yang mulia."

Sahabatmu dan Jihad,
Abdullah Saufi
Ramallah

Aku mendongak ke langit melepaskan doa semoga Jihad dianugerahkan
syahid di sisi Allah. Itulah warkah terakhir dari Ramallah. Di depan
sana... majlis telah lama bermula.


-TAMAT- 

GLOSARI:

ittifaq - sepakat
muallafat - buku-buku/penulisan
hamasah - semangat
thaqafah - pengetahuan/kebudayaan
takhtit - perencanaan
amir - ketua
jidar - dinding/tembok
mustamirrah - berterusan
kutubkhannah - perpustakaan
iftar - sarapan
marhalah - peringkat
ibtidaie - permulaan/sekolah rendah
muzaharat - tunjuk perasaan/demostrasi
imtiyaz - cemerlang
izai - bagaimana
musolla - surau